Teknik Menggandakan Wang Melalui Amanah Saham Bumiputera (ASB)
WANG BERGANDA. Ini bukan sesuatu yang magis. Bukan juga sesuatu yang boleh diperoleh dengan menggunakan khidmat si bomoh. Hakikatnya, walau bagaimana cara sekali pun, anda tidak mungkin akan dapat menggandakan wang anda dalam sekelip mata. Menggandakan atau mengembangkan wang bermaksud menggunakan wang yang anda ada dan menjadikannya lebih banyak. Dengan hanya menyimpan dalam bank-bank tempatan, anda akan mengambil masa yang agak lama untuk menggandakan wang anda memandangkan faedah ke atas simpanan yang diberi oleh pihak bank sendiri adalah pada kadar yang sangat rendah. Justeru, anda perlu bijak memilih instrumen yang paling baik untuk anda berupaya menggandakan wang anda.
Tentu ada yang tertanya-tanya, mengapa anda perlu menggandakan wang anda? Tak cukup kah dengan apa yang ada? Maka jawab saya, anda perlu pandang ke hadapan. Pandang 5 atau 10 tahun ke hadapan. Bahkan tidak salah jika anda melihat ke hadapan dan membayangkan keadaan anda di kala usia anda mencapai 60 tahun. Anda perlu merancang pendidikan anak-anak, perbelanjaan ketika persaraan agar ia mencukupi, keperluan terhadap wang di saat tak terduga, untuk bebas daripada pinjaman perumahan atau pinjaman kereta di saat anda sudah bersara dan sebagainya. Anda juga perlu untuk menggandakan wang yang ada demi kehidupan yang lebih selesa dan untuk menjamin kualiti hidup yang lebih baik.
Kini terdapat beberapa alternatif atau kaedah yang anda boleh pilih untuk menggandakan wang simpanan anda tadi, sebagai contoh melakukan pelaburan dalam ASB, hartanah, pelaburan emas, unit amanah, insurans dan sebagainya. Apa yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam artikel ini adalah tentang teknik menggandakan wang melalui pelaburan dalam akaun ASB.
Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan satu skim pendapatan yang mempunyai objektif untuk menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten kepada pemegang-pemegang unit. Dilancarkan pada 2 Januari 1990, skim unit amanah ini merupakan yang kedua dikeluarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) selepas skim Amanah Saham Nasional (ASN). ASB hanya terbuka kepada Bumiputera, dan mereka yang berusia 6 bulan ke atas layak untuk membuka akaun ASB. Had simpanan bagi setiap akaun pula adalah sebanyak RM200,000 sahaja, dan ini tidak termasuk dividen yang anda peroleh pada setiap tahun. Bagi akaun remaja pula, had simpanan adalah sebanyak RM50,000. Sasaran pelabur ASB adalah mereka yang faham tentang pelaburan, risiko dan pulangan pelaburan jangka panjang.
Terdapat banyak kelebihannya jika anda melabur dalam ASB, antaranya:-
1) Anda tidak perlu membuat sebarang pembayaran pendahuluan contohnya anda tidak perlu membayar Fi Pemprosesan, Fi Pengurusan atau sebagainya.
2) Tiada sebarang susut nilai terhadap wang yang anda laburkan. Pulangan pelaburannya dijamin oleh kerajaan dan pelaburan yang dilakukan oleh pihak ASB juga dikawal oleh kerajaan.
3) Sekiranya simpanan pelaburan sudah berusia 1 bulan, anda sudah layak menerima faedah pelaburan untuk bulan itu secara peratusan purata faedah tahunan. Pulangan juga dilihat agak konsisten, dengan purata kadar pengagihan pendapatan seunit atau faedah pelaburan adalah antara 7.30% – 7.65% (2009-2011). Kadar ini dijangka meningkat setiap tahun selaras dengan perkembangan ekonomi negara Malaysia.
4) Selain faedah pelaburan, ASB juga memberikan pelabur nya bonus bagi setiap unit pelaburan yang dibuat. Bonus unit ini akan dikira pada masa yang sama pengiraan faedah pelaburan dilakukan, kebiasaannya pada 31 Disember setiap tahun.
5) Sekiranya berlaku kecemasan atau hal-hal yang mendesak pelabur nya mengeluarkan semula simpanan ASB, pengeluaran boleh dilakukan dengan segera pada waktu bekerja tanpa perlu menunggu sampai 2 atau 3 minggu untuk proses pengeluaran selesai.
6) Sijil ASB juga boleh dicagarkan di bank-bank tempatan untuk mendapatkan pinjaman dalam bentuk overdraft bank.
Teknik Untuk Menggandakan Wang ASB Anda
Jika anda berhasrat untuk memperoleh pendapatan berganda dengan melabur dalam ASB, perkara pertama yang anda perlu buat ialah memastikan yang anda sudah memiliki buku ‘Ting’ anda. Senang sahaja untuk membuka akaun, isi boring yang diperlukan dan kepilkan salinan kad pengenalan atau surat beranak. Kemudian anda boleh pergi ke mana-mana cawangan bank yang membuat urus niaga ASB, pejabat pos atau Permodalan Nasional Berhad sendiri dan buka akaun ASB dengan pelaburan minima yang diperlukan hanyalah sebanyak RM10.
Pelaburan ASB Menggunakan Wang Simpanan Sendiri
Untuk mencapai ‘kebebasan kewangan’ atau ‘financial freedom’ seseorang itu perlu pandai untuk menabung. Ada pendapat yang menekankan bahawa 1/3 pendapatan yang diperoleh setiap bulan perlu disimpan. Bagi mereka yang tidak mampu untuk menyimpan 1/3 daripada pendapatan bulanan, mungkin boleh mulakan dengan menyimpan sekitar 5-10 % daripada pendapatan yang diperoleh. Asalkan ada wang yang disimpan untuk kecemasan, tidak kiralah jika nilainya tinggi atau rendah. Jika kesibukan menjadi penghalang untuk anda kerap pergi ke bank dan melakukan urus niaga tabungan, maka jadilah selangkah lebih bijak dengan melakukan arahan tetap (‘standing instructions) sejumlah wang ke dalam akaun simpanan anda pada setiap bulan.
Ramai juga yang melakukan pelaburan dalam akaun ASB dengan menggunakan wang simpanan mereka sendiri. Contohnya, seorang pelabur mempunyai simpanan sebanyak RM10,000 dan berhasrat untuk menyimpan dalam akaun ASB nya. Pada akhir tahun yang ke-10, pelaburan awal yang dilakukan sebanyak RM10,000 itu dijangka akan menghasilkan jumlah simpanan sebanyak RM21,589.25. Jumlah wang yang dilaburkan dalam akaun ASB kini meningkat sebanyak 53.68% daripada jumlah modal pelaburan. Pengiraan ini diperoleh dengan anggapan pelabur tadi
- tidak mengeluarkan wang simpanannya, faedah dan bonus unit yang diperoleh pada sepanjang tempoh 20 tahun itu
- Menganggarkan faedah pelaburan ASB adalah sebanyak 8% pada setiap tahun
Tahun | Prinsipal | Faedah Pelaburan | Dividen | Jumlah Simpanan Pada Akhir Tahun |
1
|
10,000
|
8%
|
800.00
|
10,800.00
|
2
|
10,800
|
8%
|
864.00
|
11,664.00
|
3
|
11,664
|
8%
|
933.12
|
12,597.12
|
4
|
12,597
|
8%
|
1,007.77
|
13,604.89
|
5
|
13,605
|
8%
|
1,088.39
|
14,693.28
|
6
|
14,693
|
8%
|
1,175.46
|
15,868.74
|
7
|
15,869
|
8%
|
1,269.50
|
17,138.24
|
8
|
17,138
|
8%
|
1,371.06
|
18,509.30
|
9
|
18,509
|
8%
|
1,480.74
|
19,990.05
|
10
|
19,990
|
8%
|
1,599.20
|
21,589.25
|
Selain itu, ASB juga menawarkan Skim Potongan Gaji bagi pelabur yang berminat untuk menambah pelaburan setiap bulan secara berterusan tanpa perlu berurusan di kaunter ASB. Khidmat ini terbuka kepada semua pegawai perkhidmatan awam dan swasta yang merupakan pemegang unit ASB.
Pelaburan Melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP
Bagi mereka yang mempunyai simpanan Akaun 1 KWSP yang melebihi jumlah simpanan asas mengikut usia masing-masing, maka mereka layak melabur sebahagian daripada jumlah yang terdapat dalam Akaun 1 itu ke dalam akaun ASB mereka. Jumlah minima pengeluaran adalah sebanyak RM1,000 dan maksimum 20% daripada jumlah simpanan yang ada mengikut jumlah simpanan asas berdasarkan usia pelabur. Walau bagaimanapun, kesemua jualan balik pelaburan, pengagihan pendapatan dan bonus daripada pelaburan yang dibuat akan dikreditkan semula ke dalam Akaun 1 KWSP pelabur.
Jika anda individu Bumiputera yang berusia antara 18 hingga 60 tahun dan tidak mempunyai modal yang banyak untuk melabur dalam ASB, maka janganlah susah hati. Kini terdapat banyak bank-bank tempatan yang menawarkan pinjaman wang untuk pelaburan ASB kepada mereka yang berminat. Bank-bank ini menawarkan tempoh pinjaman yang panjang, ada yang sehingga 25 tahun atau sehingga usia anda 60 tahun! Semakin panjang tempoh pinjaman semakin rendah bayaran ansuran bulanan yang dikenakan dan semakin rendah kadar faedah yang dikenakan ke atas jumlah wang dipinjam. Pelabur perlu bijak dan dinasihatkan untuk membandingkan tawaran pinjaman yang diberikan oleh bank-bank ini dan memilih hanya yang terbaik mengikut kemampuan anda. Bandingkan potensi pulangan, tempoh atau jangka masa pelaburan, modal yang diperlukan serta risiko pelaburan.Tawaran Pinjaman ASB Daripada Pihak Bank
Risiko pelaburan? Ya, pinjaman ASB yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan ini juga tentunya mempunyai risikonya yang tersendiri:-
1) Pinjaman ini tadi mengenakan kadar faedah mengikut Kadar Pinjaman Berian Asas atau lebih dikenali sebagai Base Lending Rate (BLR) terkini negara. Maka, jika kadar BLR negara naik, maka faedah pinjaman pun akan menjadi lebih tinggi daripada kadar faedah pelaburan, seterusnya sudah tentu tidak akan menguntungkan pelabur sendiri.
2) Seperti mana yang berlaku ke atas mana-mana pinjaman yang dibuat dengan pihak bank, maka pinjaman ASB juga akan di rekod dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau lebih dikenali sebagai CCRIS. CCRIS ialah sistem yang mengumpul maklumat mengenai individu yang mengambil pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan. Maklumat ini kemudiannya akan digunakan sebagai salah satu sumber oleh institusi kewangan ini sebagai panduan sejarah kredit peminjam. Oleh itu pinjaman yang dibuat haruslah dibayar secara tetap agar nama anda tidak akan di senarai hitam dalam CCRIS.
3) Penalti bayar lewat juga akan dikenakan sekiranya pinjaman yang dibayar setiap bulan tidak dibayar pada tarikh yang ditetapkan.
4) Terdapat juga bank yang mengenakan tempoh ‘Lock In’ yang akan menyebabkan anda didenda sekiranya anda menjelaskan pinjaman ini sebelum tempoh ‘Lock In’ tamat.
Pinjaman ASB yang dilakukan dengan mana-mana pihak bank hanya lah merupakan satu kaedah kewangan sahaja. Anda perlu lah tahu bagaimana fungsi pinjaman ini, meneliti terma dan syarat yang dikenakan agar perjanjian yang ditandatangani itu tidak akan memakan diri anda sendiri.
Kesimpulan
Menabung lah dan tetapkan matlamat untuk penuhkan akaun ASB anda. Tentunya anda akan menjadi lebih teruja apabila mendapati pelaburan yang dilakukan sudah pun pada tahap maksimum dan seterusnya anda akan mendapat pendapatan pasif setiap tahun dengan bonus dan faedah yang diterima.
Terdapat beberapa kaedah untuk menggandakan wang ASB anda. Antaranya adalah dengan melaburkan wang simpanan anda sendiri, melakukan pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP atau memohon untuk membuat pinjaman ASB daripada pihak bank. Walau apa pun kaedah yang digunakan untuk menggandakan wang, apa yang penting kaji dengan teliti dan serius segala kemungkinan agar wang yang anda simpan tadi tidak akan hilang begitu sahaja.
Selamat melabur, semoga berjaya memaksimumkan tabungan ASB anda!
"DARI USAHAWAN.COM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.